Kedai jual tayar terpakai di Shah Alam digempur, ubah suai tarikh pengeluaran antara kesalahan

Beberapa kesalahan serius melibatkan tayar yang diimport secara tidak sah dikesan dalam serbuan Op Grip di tiga premis menjual tayar di sekitar Shah Alam pada Khamis.
Serbuan melibatkan wakil daripada lapan syarikat pengeluar tayar utama selain disertai agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Antara kesalahan yang dikesan adalah penjualan tayar yang tidak diimport melalui pengedar sah, penemuan tayar yang sepatutnya dipasarkan di Eropah tetapi dijual di pasaran tempatan.
Kesalahan lain melibatkan pelekat pada tayar yang diubah suai untuk menyembunyikan negara asal, selain pengubahsuaian tarikh pengeluaran bagi membolehkan ia dijual sebagai stok baharu.
Pada Isnin, SPRM membongkar kegiatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport yang dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak 2020.



