Keluarga kanak-kanak maut dalam van sekolah saman RM2 juta terhadap lima pihak termasuk KPM

Keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditemukan maut dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, April lalu memfailkan saman berjumlah RM2.089 juta.
Saman itu dikenakan terhadap lima pihak termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), sebuah tadika, dua entiti perniagaan dan pemandu van sekolah atas dakwaan cuai.
Menurut peguam keluarga, Ng Kian Nam, saman difailkan kerana kecuaian semua defendan yang gagal melaksanakan protokol keselamatan asas hingga menyebabkan kematian Teo Yu Ze.
Antara kecuaian yang didakwa termasuk kegagalan memastikan mangsa tiba dengan selamat ke tadika, tidak memeriksa status kesihatan selepas mendapati mangsa ditinggalkan dan tidak memeriksa van dengan betul selepas menurunkan murid lain.
Keluarga turut menamakan KPM sebagai defendan kelima kerana didakwa gagal bertindak segera terhadap pengurusan tadika selepas kejadian, termasuk siasatan, penggantungan lesen dan pendakwaan.
Yu Ze dipercayai meninggal dunia antara jam 8 pagi hingga 12.05 tengah hari selepas ditinggalkan dalam van di hadapan tadika pada 30 April lalu.




