Konvensyen Beliawanis India perkukuh kepimpinan lebih 500 peserta dari seluruh negara

Konvensyen Beliawanis India Malaysia 2025, yang dianjurkan oleh Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) pada Ahad berjaya menghimpunkan lebih 500 wanita muda India dari seluruh negara.
Konvensyen yang berlangsung di Putrajaya itu membuka ruang kepada beliawanis India untuk memperkasa diri melalui pendedahan kepada ilmu, kemahiran kepimpinan, dan jaringan strategik.
Inisiatif ini juga menjadi simbol penyertaan aktif wanita muda India dalam agenda pembangunan belia negara.
Majlis perasmian telah disempurnakan dan dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr K Nagulendran.
Kehadiran tokoh-tokoh korporat, pemimpin pertubuhan belia, dan wakil universiti turut menyerlahkan sokongan terhadap kepimpinan wanita muda dalam pembangunan negara.
Dengan sokongan penuh daripada KBS, MIYC komited menjadikan Konvensyen Beliawanis India Malaysia sebagai platform tahunan nasional untuk mengangkat suara dan kepimpinan wanita muda ke arus perdana.
Acara ini telah menjadi simbol semangat baharu wanita muda India yang berdaya saing, berwawasan, dan sedia mencorakkan masa depan Malaysia Madani.




