Lelaki tunjuk kemaluan depan wanita di masjid ditahan, pemegang kad OKU

Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang jemaah wanita di sebuah masjid di Bukit Siput, Segamat, kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail, berkata suspek berusia lingkungan 20-an ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada jam 3.15 pagi di sebuah rumah di Pasir Gudang.
Siasatan mendapati suspek merupakan warga tempatan dan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran serta bukan penduduk daerah Segamat.
Suspek sebelum itu datang ke Segamat bersama ahli keluarga untuk berbuka puasa sebelum dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh ketika berada di kawasan masjid.
Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, manakala kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.




