“Lihat situasi sebelum pecat” – Anwar jawab gesaan Rafizi pecat Setiausaha Politik

Perdana Menteri menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap Setiausaha Politiknya berhubung dakwaan surat sokongan perlu berdasarkan tahap keseriusan isu tersebut.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kes itu tidak melibatkan salah laku jenayah, sebaliknya berkaitan amalan pemberian surat sokongan yang sememangnya tidak dibenarkan dalam prinsip pentadbiran kerajaan.
Bercakap ketika bertemu pihak media dalam perjalanan ke Johannesburg, Afrika Selatan pada Jumaat, Anwar menambah teguran sudah diberikan dan beliau melihat tiada keperluan untuk tindakan lanjut seperti pemecatan.
Kenyataan itu menjawab desakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang mencadangkan agar Setiausaha Politik Perdana Menteri digugurkan susulan dakwaan mengeluarkan surat sokongan untuk kontraktor projek sebuah hospital.
Rafizi turut menamakan individu terlibat sebagai Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan berpendapat tindakan lebih tegas perlu diambil bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah.
Anwar ketika itu sedang dalam perjalanan ke Johannesburg untuk lawatan kerja empat hari.




