Malaysia kedua tertinggi di Asia dalam kes buli siber

Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi di Asia dalam isu buli siber dalam kalangan remaja, menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), di belakang China.
Memetik laporan The Star, di peringkat global, Malaysia berada di tangga kelima selepas Peru, Argentina, Mexico dan Brazi menunjukkan betapa seriusnya masalah ini di negara kita.
Satu kajian oleh firma penyelidikan pasaran global, Ipsos, mendapati hampir 47% ibu bapa mengenali sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak di komuniti mereka yang menjadi mangsa buli siber, manakala satu daripada empat ibu bapa percaya anak mereka sendiri pernah dibuli dalam talian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula menerima 8,339 aduan berkaitan buli siber antara Januari hingga 1 November tahun lalu bersamaan purata 27 kes setiap hari.
Menyedari ancaman ini, kerajaan pada November lalu memaklumkan sedang mengkaji kemungkinan menggubal Akta Anti-Buli Siber bagi membanteras gejala tersebut.




