Mayat pasangan kekasih ditemukan di Setia Alam, tiada unsur jenayah – Polis

Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki dan wanita yang sudah mereput di sebuah rumah sewa di Seksyen U13, Setia Alam, namun tiada unsur jenayah dikesan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol memaklumkan, siasatan awal mendapati keadaan rumah dalam keadaan teratur tanpa tanda pencerobohan atau pergelutan dan tiada kecederaan ditemui pada tubuh kedua-dua mangsa.
Mayat dipercayai pasangan kekasih itu ditemui selepas ahli keluarga wanita berkenaan membuat laporan dan memaklumkan penemuan di rumah sewa miliknya.
Kedua-duanya ditemukan di dalam bilik di tingkat bawah dalam keadaan sudah mereput.
Pemeriksaan bersama pasukan forensik turut mendapati rumah tersebut berkunci dan tiada kenderaan di lokasi.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.




