Pasangan suami isteri dikejar lima MPV polis di Melaka, rempuh kereta peronda

Sepasang suami isteri yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah ditahan selepas aksi kejar-mengejar bersama lima kereta peronda (MPV) di sekitar Melaka Tengah, malam Khamis.
Kenderaan dinaiki mereka, jenis Proton Wira, dikesan di kawasan KIP Mall Bachang sebelum suspek lelaki memecut laju dan enggan bekerjasama, menyebabkan polis terpaksa mengejar sehingga ke Taman Cheng Ria.
Aksi dramatik itu berakhir apabila kenderaan suspek merempuh salah sebuah MPV polis, menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kereta peronda terbabit.
Suspek lelaki berusia 28 tahun mengalami kecederaan di muka dan dirawat di Hospital Melaka, manakala isterinya, 27 tahun, tidak cedera.
Siasatan mendapati lelaki itu mempunyai 18 rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik, manakala isterinya mempunyai empat rekod berkaitan kes sama.
Mereka kini direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 dan 279 Kanun Keseksaan. Video kejadian turut tular di media sosial.




