Pelajar 14 tahun maut selepas motosikal jatuh lubang 10 meter di Tampin

Perjalanan pulang dua beradik selepas makan malam berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut selepas motosikal dinaiki mereka terjatuh ke dalam lubang pembetungan di Jalan Bunga Tanjung, Tampin, kira-kira 10.10 malam tadi.
Mangsa berusia 14 tahun, pelajar tingkatan dua, membonceng motosikal yang ditunggang abangnya berusia 17 tahun.
Mereka dalam perjalanan dari Pekan Tampin menuju ke Kuala Ina sebelum motosikal dipercayai hilang kawalan di satu selekoh lalu melanggar pembetung di bahu kiri jalan.
Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke dalam lubang sedalam kira-kira 10 meter. Remaja itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba, namun disahkan meninggal dunia sekitar 11.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tampin. Penunggang pula hanya cedera ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin atau pegawai penyiasat bagi membantu siasatan.




