Malaysia
Pemandu Proton Exora lawan arus di Johor ditahan polis

Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan polis selepas didapati memandu secara melawan arus dengan SUV jenis Proton Exora, dalam kejadian yang hampir mengakibatkan pelanggaran di persimpangan Taman Megah, Kilometer 57.4 Jalan Batu Pahat-Mersing, Isnin lalu.
Tindakan suspek terbongkar selepas rakaman kejadian berdurasi 24 saat tular di media sosial, menunjukkan kenderaannya memasuki jalan susur dari arah bertentangan.
Bertindak atas maklumat, polis trafik dari IPD Kluang berjaya mengesannya dan membuat tangkapan.
Ujian air kencing ke atas suspek menunjukkan keputusan negatif dadah, dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.



