
Pelakon, Elfira Loy mengakui tidak sanggup menyertai misi kemanusiaan ke Gaza selepas melihat kekejaman tentera Israel terhadap aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.
Elfira, 31, berkata pada awalnya dia pernah berhasrat untuk turut serta dalam misi berkenaan, namun berubah fikiran selepas melihat aktivis yang ditahan dan diseksa ketika membawa bantuan ke Gaza.
Beliau mengakui berasa takut dan tidak sanggup menggadai nyawa, apatah lagi memikirkan keselamatan keluarga dan anak-anak.
Namun, Elfira tetap kagum dengan semangat serta keberanian aktivis yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi membantu rakyat Palestin.
Elfira turut meluahkan rasa bersalah apabila memikirkan masih ramai yang hanya mampu memerhati tanpa melakukan sebarang tindakan, sambil menyeru masyarakat agar terus menyokong perjuangan membela nasib rakyat Gaza.
Pada 2 Oktober lalu, 45 kapal GSF yang membawa bantuan makanan, susu formula dan ubat-ubatan dipintas tentera Israel, sebelum semua aktivis ditahan selama 72 jam dan diusir dari wilayah itu.




