Polis siasat warga Indonesia tuduh anggota minta rasuah di Subang Jaya

Polis Subang Jaya membuka siasatan terhadap dakwaan seorang pemain bola sepak dari Indonesia yang menuduh anggota polis meminta wang ketika pemeriksaan dijalankan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan secara tertib mengikut prosedur. Semua individu yang diperiksa kemudian dilepaskan.
Pihak polis turut mengesan satu lagi video yang menuduh dan mengaibkan anggota terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, video pemain bola sepak Indonesia itu tular di media sosial selepas dia mendakwa anggota polis meminta wang ketika menahannya kerana memandu melawan arus.



