Remaja sering dibuli didakwa dalang letupan di masjid sekolah di Jakarta

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sering dibuli disyaki menjadi dalang letupan di masjid Sekolah Menengah Atas Negeri 72 Kelapa Gading, Jakarta Utara, ketika solat Jumaat semalam, yang mencederakan sekurang-kurangnya 54 orang.
Siasatan awal mendapati letupan berpunca daripada bom buatan sendiri atau bom Molotov yang dipercayai dibawa remaja berkenaan ke dalam masjid sekolah.
Mangsa letupan terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan sekolah, dengan kecederaan dilaporkan antara ringan hingga serius, termasuk kes melecur dan trauma.
Kejadian berlaku sejurus khutbah Jumaat tamat, menyebabkan suasana panik apabila dua daripada tiga bom yang ditemui meletup.
Polis kini menyiasat punca sebenar letupan serta motif suspek, termasuk kemungkinan tindakan itu berpunca daripada dendam akibat dibuli rakan sekolah.




