Sakan tunggang motosikal lawan arus, 33 ditahan di P.Pinang

Polis menahan 33 lelaki termasuk seorang warga asing selepas mereka dikesan menunggang motosikal di lorong kereta dan melawan arus di KM 3.8 Jambatan Kedua Pulau Pinang menuju Batu Kawan, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata mereka ditahan oleh anggota JSPT yang menjalankan operasi di lokasi berkenaan.
Beliau memaklumkan kumpulan itu sepatutnya menggunakan lorong motosikal, namun memilih laluan kereta dan berpatah balik ke arah Batu Maung secara melawan arus ketika diarahkan berhenti.
Tindakan pantas operasi membawa kepada penahanan 33 lelaki berusia 16 hingga 27 tahun, terdiri daripada 32 warga tempatan dan seorang warga asing.
Dalam operasi sama, sebanyak 51 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 110 motosikal diperiksa dan 74 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.



