Syed Alwi kini Ketua Eksekutif HRD Corp yang baharu

Syed Alwi Mohamed Sultan hari ini diumumkan sebagai Ketua Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Syed Alwi, 51, memiliki lebih 27 tahun pengalaman dalam kepimpinan strategik merentas sektor perkhidmatan kewangan, teknologi perbankan dan perundingan pengurusan.
Beliau pernah menerajui pelbagai institusi termasuk sebagai Pengarah Urusan BNP Paribas Malaysia Bhd (Perbankan Islam), Presiden dan CEO Agrobank, serta CEO Kumpulan UMPSA Holdings Sdn Bhd.
Beliau juga pernah berkhidmat di Standard Chartered Saadiq, The Islamic Bank of Asia (Singapura), HL Bank (Singapura) dan MRANTI Corporation.
Berpendidikan tinggi, beliau memegang PhD dalam bidang Kewangan dari Universiti Malaya, serta memiliki MBA dan Ijazah Sarjana Muda dari UIAM. Beliau turut menamatkan Program Fintech Oxford di Saïd Business School, University of Oxford.
HRD Corp menyatakan pelantikan ini bakal mengukuhkan hala tuju strategik organisasi dalam pembangunan modal insan negara serta menyokong agenda digital dan inovasi sumber manusia.




