Tekanan akibat kos sara hidup punca belia enggan berkahwin

Tekanan kos sara hidup menjadi antara faktor utama yang mendorong ramai golongan belia menangguhkan perkahwinan dan perancangan untuk berkeluarga, walaupun masih mempunyai keinginan untuk berbuat demikian.
Laporan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menunjukkan hampir satu daripada lima dewasa di 14 negara mungkin tidak mampu memiliki bilangan anak yang diinginkan.
Ini dengan 39 peratus menyatakan halangan kewangan sebagai punca utama termasuk kos penjagaan anak, perumahan dan pekerjaan yang tidak menentu.
Bagi menangani isu ini, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti cuti bersalin dan paterniti, subsidi pusat jagaan kanak-kanak, bantuan kewangan kepada keluarga B40 serta program kesedaran kesihatan reproduktif dan kekeluargaan.
Kadar kesuburan di Malaysia juga terus menurun kepada 1.7 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian penduduk 2.1.
Sehubungan itu, kerajaan memperkenalkan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) yang menyasarkan 30,000 pasangan menjelang 2025.




