Terlepas servis lebih setahun, pemilik Proton X90 terkejut diminta tukar enjin
Seorang lelaki meluahkan rasa terkejut selepas dimaklumkan sebuah Proton X90 milik ibu bapanya perlu menjalani penukaran enjin kerana waranti kenderaan terbatal akibat terlepas jadual servis lebih setahun.
Kenderaan yang dibeli pada 2024 itu hanya sempat menjalani tiga servis awal sebelum gagal diservis mengikut tempoh ditetapkan.
Menurutnya, kenderaan tersebut dihantar ke pusat servis Proton Supernau Motors di Kuching, Sarawak, sebelum pihak pusat servis mengesahkan waranti telah terbatal dan memaklumkan terdapat masalah pada enjin serta turbo sehingga memerlukan penukaran enjin sepenuhnya.
Setakat ini, pemilik masih menunggu sebut harga rasmi daripada pusat servis berkenaan bagi kerja-kerja pembaikan tersebut.
Dalam masa sama, pemilik turut memaklumkan kerusi pemandu elektrik mengalami masalah sejak awal, namun tuntutan pembaikan juga ditolak dengan alasan waranti terbatal susulan kelewatan servis, walaupun isu itu didakwa berpunca daripada kecacatan kilang.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, dengan sebahagian besar menyifatkan situasi berkenaan sebagai perkara biasa kerana pemilik kenderaan sepatutnya mematuhi jadual servis yang ditetapkan bagi mengekalkan perlindungan waranti, terutama bagi model kenderaan moden.




