Terpaling kebal, Netanyahu tetap mahu ke NY walau Mamdani beri amaran ditangkap

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap bertegas mahu berkunjung ke New York walaupun Datuk Bandar baharu, Zohran Mamdani, memberi amaran bahawa beliau akan ditangkap berdasarkan waran Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Netanyahu mengekalkan pendirian itu dalam satu wawancara maya, menegaskan lawatan tersebut tetap diteruskan walaupun Mamdani sebelum ini menyatakan kesediaannya mengarahkan polis menahan beliau jika memasuki bandar itu.
Mamdani, 34, yang bakal mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York dan merupakan pemimpin Muslim pertama serta berasal dari Asia Selatan mencetuskan perhatian selepas mengulangi komitmennya untuk mematuhi waran ICC terhadap Netanyahu.
Sikap lantangnya mengenai isu Gaza turut menjadi antara faktor utama yang mengangkat profil politiknya, manakala Netanyahu pula memberi isyarat beliau tidak berhasrat berunding dengan Mamdani kecuali Datuk Bandar baharu itu mengubah pendiriannya terhadap Israel.




