Malaysia

Tidak wajar Menteri ugut wartawan – Akmal kritik tindakan Nga Kor Ming

Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang didakwa mengugut seorang wartawan selepas ditanya soalan dalam satu majlis rasmi, mencetuskan kecaman meluas daripada ahli politik dan pertubuhan media.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, antara yang terawal mengkritik tindakan Nga, menyifatkan sikapnya sebagai tidak wajar bagi seorang menteri yang sepatutnya terbuka menerima soalan media, apatah lagi pernah lantang bersuara terhadap kerajaan ketika berada di blok pembangkang.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) turut mengecam tindakan itu sebagai cubaan menekan kebebasan media dan menakut-nakutkan wartawan yang menjalankan tugas secara profesional.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) pula mengingatkan bahawa soalan wartawan bukan serangan peribadi, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab semak dan imbang yang menjadi asas demokrasi.

Kontroversi tercetus ketika majlis prapelancaran projek ‘I Lite U’ di mana seorang wartawan Utusan Malaysia bertanya mengapa tema acara pelancongan itu menggunakan bahasa Inggeris.

Nga menjelaskan penggunaan bahasa tersebut sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa, namun kemudian memberitahu wartawan itu bahawa beliau akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan berhubung soalan yang diajukan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker