Trump bakal umum berita baik menjelang pertemuan bersama PM Qatar

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi bayangan akan mengumumkan berita baik berkaitan situasi di Gaza, di tengah-tengah rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung antara Israel dan Hamas di Doha, Qatar.
Kenyataan itu dibuat menjelang pertemuan Trump dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani di Rumah Putih.
Ini ketika proses diplomatik antarabangsa semakin giat digerakkan bagi menamatkan konflik di Semenanjung Gaza.
Sumber diplomatik sebelum ini memaklumkan terdapat kemajuan ketara dalam rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak yang bermula sejak 6 Julai lalu, termasuk cadangan pertukaran tawanan dan pelaksanaan gencatan senjata jangka panjang.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah melancarkan kempen ketenteraan yang dahsyat di Gaza, mengorbankan hampir 58,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.




