Trump lulus perjanjian nuklear dengan Arab Saudi

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meluluskan perjanjian yang membolehkan Arab Saudi membangunkan program tenaga nuklear awam. Menurut laporan yang dipetik Anadolu Ajansi (AA) pada Selasa, perjanjian itu bernilai puluhan bilion dolar dan berkuat kuasa selama 30 tahun.
Perjanjian itu memberi peranan utama kepada syarikat AS dalam pembangunan infrastruktur nuklear Arab Saudi, termasuk kemungkinan membina loji pengayaan uranium jika dipersetujui Washington dan Riyadh.
AS turut akan memantau program nuklear itu bagi memastikan ia tidak digunakan untuk pembangunan senjata.
Bagaimanapun, perjanjian yang akan dikemukakan kepada Kongres AS dalam masa terdekat dijangka menerima bantahan kerana dikhuatiri meningkatkan risiko peluasan keupayaan nuklear di Asia Barat.




