Tular ajak lakukan hubungan seks di kedai, tukang masak bergaji RM1,500 didenda RM6,500
Lelaki yang sebelum ini tular dengan menyerbu masuk premis kedai dan mengajak wanita mengadakan hubungan seksual dikenakan denda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Khamis.
Muhammad Amirulhakim Suhaimi, 30, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret.
Amirulhakim mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan iaitu mencabul kehormatan wanita terbabit dan menggunakan dadah jenis morfin.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chew Thiam Hui yang mewakili tertuduh, dalam rayuan memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya hanya bekerja sebagai tukang masak dengan gaji bulanan RM1,500.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya R Lushani pula memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran, selain mangsa juga mengalami trauma akibat kejadian terbabit.
Bagi kes pertama, mahkamah mengenakan denda RM5,000 manakala bagi kesalahan dadah pula, tertuduh dijatuhi denda RM1,500 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar.




