Warga emas maut dilanggar SUV dipandu warga asing ketika mabuk

Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu lelaki warga asing disyaki di bawah pengaruh alkohol ketika melintas jalan di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam melibatkan mangsa berusia 67 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tercampak ke atas jalan.
Siasatan awal mendapati SUV dipandu lelaki berusia 51 tahun itu datang dari arah Jalan Mount Erskine menuju ke Jalan Tanjung Bungah sebelum melanggar mangsa.
Ujian saringan mendapati pemandu berkenaan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.
Polis menahan suspek dan akan memohon perintah reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




