10 lagi syarikat terlibat aktiviti penipuan tersenarai dalam SemakMule

Polis mengenal pasti 10 lagi syarikat disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan, dengan 109 laporan direkodkan dalam tempoh sebulan sehingga 31 Dis lalu.
Semua syarikat berkenaan telah dimasukkan ke dalam pangkalan data SemakMule CCID bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa.
Antara syarikat yang mencatat jumlah laporan tertinggi ialah CVC Grow Star Sdn Bhd dan CVC Group Sdn Bhd (19 laporan), diikuti JMC M Trading Venture dan JMC Asia Top Solution (16), KGI HK Sdn Bhd (16).
Seterusnya, Greenvale Trading Sdn Bhd (14), Titan Union Trading Sdn Bhd (14), Brightglobal Sdn Bhd (11), RXM IGlobal Solution (10) serta Apek Express Servicess (M) Sdn Bhd (sembilan).
Polis turut memberi amaran supaya orang ramai tidak terpedaya dengan tawaran kerja mudah melibatkan pendaftaran syarikat atau pembukaan akaun bank bagi pihak ketiga, yang sering digunakan sindiket sebagai pelindung aktiviti haram.
Akaun syarikat dipercayai menjadi pilihan penipu kerana membolehkan transaksi wang dalam jumlah besar dilakukan dengan lebih sukar dikesan, selain meningkatkan keyakinan mangsa berbanding penggunaan akaun peribadi.




