4 lelaki robohkan kuil guna ‘backhoe’ di Rawang ditahan polis

Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pencerobohan dan perobohan sebahagian sebuah kuil di Rawang, Selangor, semalam.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, penahanan susulan laporan seorang lelaki tempatan yang mendakwa kuil berkenaan dirobohkan tanpa perbincangan serta tanpa memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengadu terlebih dahulu.
Siasatan awal mendapati kerja pembersihan dan perobohan telah dijalankan di lokasi terbabit.
Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 39 tahun dan polis turut merampas sebuah jentera pengorek (backhoe) bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427, 295, 504 dan 447 Kanun Keseksaan. Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan ketegangan.




