Kes dijadikan NFA, penuntut IKBN dakwa bukan dibuli tapi hanya bergurau

Kes tular membabitkan seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang dilihat seolah-olah menjadi mangsa kekerasan fizikal disahkan bukan insiden buli, sebaliknya hanya gurauan rakan-rakan sempena sambutan hari lahirnya.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, mengesahkan pelajar berkenaan bersama ibu bapa hadir memberi penjelasan dan siasatan lanjut mendapati tiada unsur paksaan atau penderaan.
Semua pelajar terlibat telah dipanggil memberi keterangan dan kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Pihak IKBN turut mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan kampus dan memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar terbabit.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 13 saat di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang.




