Suspek curi kabel di landasan LRT Laluan Kajang berjaya ditahan – RapidKL

Seorang individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di landasan Laluan Kajang berjaya ditahan oleh pihak berkuasa awal pagi tadi.
Insiden dikesan kira-kira jam 12.58 tengah malam selepas pusat kawalan operasi Laluan Kajang menerima maklumat mengenai lima individu menceroboh dan melarikan diri di kawasan landasan antara Stesen Mutiara Damansara dan Stesen Bandar Utama.
Susulan laporan itu, pasukan Polis Bantuan Prasarana menjalankan pemeriksaan sebelum berjaya menahan seorang suspek pada jam 1.25 pagi di tepi jalan berhampiran Stesen Mutiara Damansara.
Pemeriksaan turut menemukan kabel yang telah dipotong serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel. Suspek kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.




