Malaysia

KTMB ubah laluan ETS mulai 2027, penumpang perlu tukar tren di KL Sentral

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyusun semula jadual perjalanan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) jarak jauh mulai 1 Januari 2027, membabitkan beberapa laluan utama yang menghubungkan sektor utara dan selatan negara.

Menerusi perubahan itu, perjalanan terus menggunakan tren yang sama bagi laluan Johor Bahru Sentral (JB Sentral)-Butterworth, JB Sentral-Padang Besar dan Butterworth-Segamat serta arah sebaliknya tidak lagi ditawarkan.

Penumpang bagi laluan terbabit perlu menukar tren di KL Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Dalam masa sama, KTMB akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ETS daripada 44 perjalanan berjadual sehari pada 2026 kepada 50 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis dan 58 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad pada 2027.

Laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral turut menyaksikan peningkatan daripada lapan kepada 12 perjalanan sehari.

Selain itu, Stesen Kuala Lumpur Lama dan Stesen Subang Jaya akan diperkenalkan sebagai hab tambahan ETS bagi mengurangkan tumpuan penumpang di KL Sentral.

Bagi memudahkan urusan perjalanan, KTMB sedang menaik taraf sistem tempahan tiket supaya penumpang yang perlu menukar tren di KL Sentral boleh membuat pembelian melalui satu transaksi mulai Disember 2026.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker