18 lelaki ditahan selepas serangan di KLCC

Polis menahan 18 lelaki berusia 17 hingga 45 tahun yang dipercayai terbabit dalam rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki hingga cedera di hadapan KLCC, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata insiden berlaku sekitar jam 9 malam apabila sekumpulan jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ dipercayai memukul pelancong lelaki warga India.
Seorang lelaki tempatan yang cuba meleraikan pergaduhan turut diserang dari belakang dengan senjata dipercayai pisau kerambit sebelum dipukul oleh kira-kira 30 rakan suspek.
Hasil siasatan awal mendapati mereka mengaku bekerja sebagai jurugambar jalanan di kawasan KLCC, dan dua daripada mereka dikenal pasti oleh saksi sebagai pelaku serangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Mangsa mengalami kecederaan di kepala; seorang menerima tujuh jahitan manakala seorang lagi dua jahitan akibat serangan dari belakang.




