Bekas juruterbang menang kes, AirAsia perlu bayar RM269,000

AirAsia gagal mengetepikan keputusan mahkamah yang mengarahkan syarikat penerbangan itu membayar pampasan sebanyak RM268,620 kepada bekas juruterbangnya, Eric Koh Kim Lai.
Pampasan itu melibatkan RM232,320 bagi tunggakan gaji dan RM36,300 sebagai bayaran ganti rugi selepas Koh didapati mengalami pemecatan secara konstruktif.
Koh menyertai AirAsia pada Julai 2018 sebelum meletakkan jawatan pada 2022 selepas dikenakan cuti tanpa gaji dan pemotongan gaji sebanyak 75 peratus ketika pandemik COVID-19.
Beliau mendakwa tindakan syarikat itu menjejaskan sumber pendapatannya sehingga tiada pilihan selain meninggalkan pekerjaan.
Mahkamah sebelum ini memutuskan tindakan AirAsia tersebut merupakan amalan pekerjaan yang tidak adil.
Syarikat penerbangan itu bagaimanapun gagal dalam usaha mencabar keputusan yang memihak kepada bekas juruterbang berkenaan.




