Kes rasuah Saravanan, perbicaraan bermula Mac tahun depan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, bermula 4 Mac hingga Ogos 2027.
Hakim Azrul Darus menetapkan beberapa tarikh perbicaraan iaitu 4 Mac, 12 April, 24 hingga 27 Mei, 17 hingga 19 Ogos serta 23 hingga 25 Ogos 2027 selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, memaklumkan pihak pendakwaan sudah menyerahkan 31 halaman dokumen kepada pihak pembelaan pada 3 November. Pihak pendakwaan juga merancang memanggil seramai 25 saksi, manakala pihak pembelaan diarahkan mengemukakan kenyataan pembelaan sebelum 15 Januari 2027.
Untuk rekod, Saravanan, yang juga Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah, berdepan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta bagi membantu meluluskan kuota 1,000 pekerja asing untuk TYKB Engineering Sdn Bhd pada 2022.
Beliau didakwa menerima RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 melalui pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, menerusi seorang orang tengah. Saravanan mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu pada 28 Ogos lalu.




