Ringgit kukuh RM4.16 berbanding dolar AS, mata wang terbaik di Asia

Nilai ringgit terus mencatat pengukuhan ketara apabila mencecah RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus muncul sebagai mata wang paling kukuh di Asia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan ringgit disokong oleh penarafan kukuh agensi antarabangsa seperti S&P Global Ratings dan Moody’s yang mengekalkan kedudukan kredit negara pada tahap A- dan A3 dengan prospek stabil.
Beliau turut menegaskan prestasi ekonomi negara turut disokong kadar pengangguran terendah dalam tempoh sedekad serta pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 walaupun mendapat tentangan sesetengah pihak.
Anwar pada masa sama berkata, pengukuhan ringgit membuktikan dasar yang dilaksanakan kerajaan mula menunjukkan hasil, sambil menyindir pembangkang yang sebelum ini hanya menumpu kepada kejatuhan mata wang tetapi berdiam diri ketika nilai ringgit kembali kukuh.




