Rakyat muak dengan golongan VVIP! Indonesia henti penggunaan siren lampu strob di jalan raya

Pihak berkuasa Indonesia mengambil keputusan menghentikan sementara penggunaan siren dan lampu strob pada kenderaan rasmi selepas gelombang kritikan rakyat yang muak dengan penyalahgunaan kemudahan itu oleh golongan atasan.
Selama ini, lampu strob dan siren kerap digunakan untuk membuka laluan di jalan raya, sekali gus menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan orang ramai yang terpaksa mengharungi kesesakan berjam-jam.
Tekanan awam akhirnya memaksa Korps Lalu Lintas (Korlantas) Polri bertindak menilai semula peraturan dan menghadkan penggunaan kemudahan tersebut.
Ketua Korlantas Polri, Irjen Agus Suryonugroho, memaklumkan penguatkuasaan baharu ini akan berkuat kuasa sehingga selesai proses penilaian menyeluruh, termasuk dengan melibatkan pakar dan masyarakat.
Tumpuan utama adalah memastikan lalu lintas lebih selamat, teratur dan tidak menindas pengguna jalan biasa.




