Polis dan tentera mula manfaatkan BUDI95, akui proses cukup mudah

Hari pertama pelaksanaan Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berjalan lancar dengan anggota polis dan tentera menjadi antara kumpulan terawal menikmati manfaatnya sejak pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad antara yang dilihat membuat pengisian hari ini di Tangkak, selepas melalui proses pengesahan kelayakan di kaunter.
Seramai 9,534 pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor dikenal pasti aktif dan layak menerima manfaat tersebut.
BUDI95 diperkenalkan bagi memastikan subsidi petrol disalurkan terus kepada rakyat yang layak, termasuk anggota keselamatan yang menggunakan kenderaan persendirian untuk tugasan harian.
Inisiatif ini tidak memerlukan sebarang pendaftaran khas, sebaliknya hanya memerlukan pengesahan MyKad di terminal pam atau kaunter stesen minyak.
Selain itu, penebusan juga boleh dibuat melalui aplikasi digital seperti e-dompet TNG, Setel, Shell Apps dan CaltexGo. Pengguna hanya perlu membuat pengesahan sekali, selepas itu tidak perlu lagi mengemukakan MyKad setiap kali pengisian.
Kerajaan turut menasihatkan orang ramai memastikan cip MyKad berfungsi dengan baik dan lesen memandu masih sah bagi mengelakkan sebarang masalah semasa penebusan atau pembelian di bawah sistem baharu ini.




