Ahli Parlimen DAP sifatkan kontroversi alkohol sebagai hipokrasi politik

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyifatkan kekecohan isu minuman beralkohol dalam majlis makan malam sempena Global Travel Meet (GTM) sebagai contoh hipokrasi politik.
Beliau menyokong tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing yang membenarkan penganjuran acara itu diambil alih sepenuhnya oleh sektor swasta bagi menarik pelaburan dan mengurangkan kos kerajaan.
Lim menegaskan desakan supaya Tiong meletak jawatan tidak berasas kerana majlis tersebut mencerminkan kerjasama awam-swasta yang sepatutnya digalakkan.
Baginya, kontroversi yang dibangkitkan bukan soal prinsip, tetapi serangan bermotif politik sempit terhadap sektor pelancongan yang bersifat global dan berbilang budaya.
Isu tercetus selepas dakwaan bahawa alkohol dihidangkan dalam majlis yang dikaitkan dengan Tourism Malaysia.
Tiong menjelaskan penganjuran asal oleh agensi itu telah diserah kepada pihak industri selepas melihat potensi perjanjian perniagaan berskala besar.
Namun, pihak tertentu berhujah kerajaan tetap bertanggungjawab kerana acara itu dipaparkan dalam platform rasmi.




