Tiada keperluan iktiraf UEC setaraf SPM dan STPM

Pengiktirafan penuh terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak diperlukan kerana peperiksaan itu lahir dari sistem pendidikan swasta dan menggunakan kurikulum yang bukan sebahagian daripada sistem kebangsaan.
Timbalan Pengarah MINDA UKM, Dr. Anuar Ahmad menegaskan bahawa sejak 1975 kerajaan sudah pun membenarkan UEC beroperasi, dan pada 2012 ia diberikan pengiktirafan bersyarat khusus untuk pengambilan guru pelatih bahasa Cina.
Namun, tuntutan untuk mengiktirafnya setaraf SPM dan STPM dianggap melampaui asas asal kewujudannya.
Isu UEC kembali dibangkitkan selepas Nga Kor Ming menyatakan hasrat bertemu Perdana Menteri bagi membincangkannya dan menegaskan pendirian DAP untuk terus memperjuangkan perkara itu.
Menurut Dr. Anuar, fokus sebenar negara sepatutnya mengukuhkan pendidikan kebangsaan, bukan menambah lagi jurang aliran dan persijilan.
Beliau menegaskan bahawa semua rakyat tanpa mengira kaum wajar menyokong satu sistem pendidikan yang mempersatukan negara, apatah lagi Malaysia satu-satunya negara yang mengiktiraf sekolah vernakular sebagai sebahagian aliran kebangsaan.




