Ketua Polis Kelantan diugut selepas bongkar lebih 100 kes lama ‘ah long’

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dipercayai menerima ugutan susulan tindakan tegas polis membuka semula lebih 100 kes lama melibatkan sindiket pinjaman wang haram atau ah long yang sebelum ini diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA).
Sejak Januari hingga Disember tahun lalu, lebih 100 kes ugutan oleh ah long dikenal pasti mempunyai asas kukuh dan diklasifikasikan semula untuk siasatan lanjut.
Ia melibatkan mangsa yang ditekan akibat faedah pinjaman melampau sehingga menjejaskan keselamatan dan kesihatan mental.
Sindiket ah long di Kelantan dipercayai dibawa masuk dari negeri lain dan beroperasi melalui rangkaian gengster tempatan, dengan ugutan dilihat sebagai tindak balas terhadap tekanan berterusan polis.
Siasatan turut dijalankan berhubung contengan simbol di Lapang Sasar Menembak IPK Kelantan di Bachok, yang disyaki cubaan mengelirukan siasatan, manakala empat lelaki berusia 20-an telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.




