Bapa tiri ‘kantoi’ simpan koleksi rakaman ahli keluarga dalam bilik mandi

Seorang bapa tiri ditahan polis selepas disyaki merakam video secara sembunyi terhadap ahli keluarganya sendiri di bilik air sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Laut, Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin memaklumkan, suspek berusia 39 tahun ditahan kurang dua jam selepas laporan dibuat.
Ini selepas perbuatannya terbongkar apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui telefon bimbit disorokkan dalam tandas dalam keadaan sedang merakam.
Pemeriksaan ke atas telefon tersebut menemukan 10 klip video tidak senonoh melibatkan mangsa dan dua anak, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika menggunakan bilik air.
Suspek yang bekerja sebagai buruh dan tinggal serumah dengan mangsa ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.



