Kerajaan digesa sedia bas sekolah percuma demi keselamatan, kurangkan kesesakan

Kerajaan digesa menyediakan pengangkutan sekolah percuma di seluruh negara bagi meningkatkan keselamatan pelajar serta meringankan beban kos ibu bapa, sejajar dengan inisiatif yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri Sarawak.
Naib Presiden MIC Kebangsaan, Datuk T. Murugiah berkata langkah itu wajar diperluaskan di peringkat nasional dengan memanfaatkan bas sekolah sedia ada, sekali gus memastikan kos pengangkutan pelajar ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa membebankan keluarga.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan ibu bapa, malah membantu kelangsungan pengusaha bas sekolah yang sering berdepan masalah kewangan, khususnya ketika musim cuti sekolah.
Beliau menegaskan, jika Sarawak mampu menyediakan pengangkutan percuma termasuk penggunaan bas baharu, Kerajaan Persekutuan juga berupaya melaksanakannya melalui pendekatan alternatif dengan memanfaatkan aset dan operator sedia ada.
Sehubungan itu, satu mekanisme bersepadu dicadangkan melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh, mampan dan berkesan demi kebajikan rakyat dan masa depan pendidikan negara.




