Kerajaan bakal larang kanak-kanak 13 tahun ke bawah ada media sosial
Kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk melarang kanak-kanak bawah usia 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial, susulan kebimbangan terhadap pendedahan awal kepada kandungan tidak sesuai serta risiko keselamatan siber.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, langkah itu turut disusuli dengan keperluan memperkenalkan modul literasi digital kepada remaja berumur 13 tahun ke atas bagi membina kesedaran tentang cabaran dan bahaya di alam maya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Komunikasi memaklumkan sebanyak 1,443 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak telah diturunkan hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kerana melanggar undang-undang dan garis panduan platform.
Usaha ini dilihat sebagai langkah awal ke arah mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan beretika, khususnya buat pengguna muda.
Tambahnya, tindakan ini berikutan pelanggaran peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti penyedia platform.




