Jadi nadi kehidupan, harga diesel Sabah, Sarawak kekal RM2.15

Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter bagi memastikan keperluan harian penduduk terus terjamin.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan diesel menjadi nadi kehidupan di wilayah berkenaan susulan faktor geografi yang luas, kawasan pedalaman mencabar serta akses jalan raya dan infrastruktur yang terhad.
Keadaan itu menyebabkan penduduk banyak bergantung kepada pengangkutan air, kenderaan pacuan empat roda serta penjanaan elektrik menggunakan diesel, selain menyokong aktiviti ekonomi seperti perikanan dan logistik.
Penggunaan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dianggarkan sekitar 2 bilion liter, dengan pengekalan harga dilihat penting bagi menjamin kelangsungan hidup dan memastikan subsidi disalurkan secara bersasar serta adil kepada rakyat.




