Malaysia
Lelaki direman enam hari bagi kes tikam Nur Syamira dan Ku Asyraf

Seorang lelaki berusia 29 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes tikaman yang meragut nyawa seorang wanita dan seorang peniaga telefon bimbit di Taman Nona, Guar Chempedak, malam Khamis lalu.
Suspek ditahan di Kuala Terengganu semalam sebelum dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani pagi tadi, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian itu, Nurul Nur Syamira, 28, ditemui maut dalam kereta Proton Wira dengan kesan tikaman, manakala Ku Asyraf Ku Shuib, 30, pula ditemui tertiarap di jalan berhampiran dengan kecederaan sama.
Polis masih menyiasat status hubungan suspek dengan mangsa wanita, dan perkembangan lanjut kes dijangka dimaklumkan dalam sidang media di IPK Kedah esok.




