Tun Fuad Stephens diangkat semula, Legasi Huguan Siou terus jadi inspirasi negara

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia menganjurkan Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens bertemakan “Legasi Huguan Siou Membina Negara Bangsa” di Le Meridien Kota Kinabalu, Sabah sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan.
Program itu dirasmikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang menyifatkan Tun Mohd Fuad Stephens sebagai tokoh penting dalam pembentukan Malaysia pada 1963 serta Ketua Menteri Sabah yang pertama.
Beliau turut dikenang sebagai arkitek perpaduan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di Sabah.
Tun Fuad, yang dikenali sebagai Huguan Siou atau Pemimpin Agung masyarakat Kadazandusun, turut berjasa memperkenalkan nama Sabah menggantikan Borneo Utara, memperjuangkan Pesta Kaamatan serta mempertahankan hak negeri menerusi Perjanjian Malaysia 1963 dan tuntutan 20 Perkara Sabah.
Menurut Aaron, perjuangan Tun Fuad dalam pembangunan Sabah, pembentukan Malaysia dan penyatuan rakyat pelbagai kaum menjadi asas penting pembinaan negara bangsa.


