Pemandu lori selamatkan 21 penumpang bas, terima penghargaan khas RM10,000

Pemandu lori, Wong Tuck Ming, 40, menerima Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati RM10,000 daripada kerajaan selepas tindakannya menyelamatkan 21 penumpang bas dalam kejadian di berhampiran Terowong Menora, Perak pada 15 Jun.
Bas dari Kedah ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan akibat masalah teknikal ketika menuruni bukit. Tuck Ming kemudian menggunakan lorinya untuk memperlahankan dan menghentikan bas daripada terbabas.
Beliau turut merapatkan kenderaan ke penghadang jalan serta membunyikan hon bagi memberi amaran kepada kenderaan lain dan mengelakkan kemalangan lebih besar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyifatkan tindakan itu sebagai berani dan memuji beliau sebagai “wira negara”, dengan penghargaan disampaikan di Dewan Rakyat pada Selasa.




