Tahlil dibuat ketika liang lahad masih terbuka, NGO dakwa permit pengebumian ditahan

Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) mendakwa proses pengebumian seorang wanita di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang semalam, tertangguh kira-kira 1 jam 20 minit selepas permit pengebumian didakwa ditahan oleh seorang Ahli Lembaga Takmir Kariah bersama dua anggota polis.
Yang Dipertuanya, Wan Shahir berkata, jenazah yang meninggal dunia di Hospital Ampang pada jam 6.22 pagi telah selesai diuruskan mengikut SOP sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Namun, pengebumian tidak dapat diteruskan sementara menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa.
Menurut beliau, sepanjang menunggu, bacaan tahlil terpaksa dilakukan walaupun jenazah sudah berada di dalam liang lahad. Pengebumian hanya diteruskan selepas polis mengesahkan tiada halangan daripada pihak penyelia tanah perkuburan.
BKS turut mempersoalkan isu caj pengurusan jenazah dan mendakwa berlaku kekeliruan dalam proses pengebumian.
Setakat ini, Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.



