PAS arah penyokongnya undi BN di kerusi bukan ditandingi PN

PAS mengarahkan semua ahli dan penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) atau Umno di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan itu dibuat kerana parti yakin ahlinya memahami kepentingan penyatuan ummah, selain menegaskan penyokong PAS tidak seharusnya mengundi calon Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, BN kekal dengan keputusan bertanding secara solo di semua 56 kerusi, manakala PH turut meletakkan calon di kesemua kerusi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut menafikan dakwaan wujud kerjasama rasmi dengan PAS atau Parti Wawasan Negara dalam PRN Johor, sambil menyifatkan sebarang perbincangan jika ada hanya berlaku di peringkat akar umbi.




