Grand Canyon dilanda banjir kilat, lebih 20 orang dikhuatiri hilang

Banjir kilat melanda kawasan Grand Canyon National Park, Arizona, Amerika Syarikat pada petang Sabtu, 29 Ogos, menyebabkan lebih 20 orang dikhuatiri hilang.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang waktu tempatan di kawasan Bright Angel Canyon dan Phantom Ranch.
Menurut National Park Service (NPS), seramai 62 orang berjaya dipindahkan setakat pagi Ahad, namun operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan individu yang belum diketahui keberadaan mereka.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan.
Banjir itu turut menyebabkan jambatan pejalan kaki musnah, manakala lumpur, batu besar dan serpihan dihanyutkan ke Sungai Colorado.
NPS bersama Arizona Department of Public Safety meneruskan operasi mencari dan menyelamat, termasuk menggunakan helikopter.
Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai kemungkinan hujan lebat dan ribut petir susulan yang boleh menyebabkan lebih banyak banjir kilat.



