Malaysia
Hujan lebat cetus banjir, empat kampung di Baling terjejas

Hujan lebat berterusan hampir empat jam semalam menyebabkan Sungai Iboi melimpah dan menjejaskan empat kampung di Baling, Kedah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kawasan terjejas ialah Kampung Iboi, Kampung Sadek, Kampung Bendang Bechah dan Sriti Kupang.
Bomba menerima panggilan pada jam 8.05 malam sebelum mendapati enam rumah di Kampung Bendang dinaiki air pada jam 9 malam. Semua penduduk selamat dan tidak dipindahkan kerana air mula surut.
Zulkhairi berkata, arus Sungai Iboi dan Lata Celak masih deras dan berisiko, namun tiada mangsa dilaporkan. BBP Baling mengerahkan 33 anggota untuk pemantauan setiap tiga jam di kawasan terjejas.




