Lebih 5,000 kes buli berlaku di sekolah setakat tahun ini – PM

Sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana masih ada pihak sekolah yang memilih untuk tidak melaporkan kes buli dan salah laku disiplin demi menjaga imej institusi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. Katanya, kerajaan mengakui masih ada kelemahan dalam menangani isu itu dan akan memperketatkan peraturan sedia ada.
Antara langkah diambil termasuk peruntukan RM3 juta untuk CCTV di sekolah, RM5 juta di asrama dan RM15 juta tahun depan bagi memasangnya di 1,000 sekolah.
Kerajaan turut mewujudkan 5,107 jawatan guru kaunseling, melantik 300 pembantu warden serta melatih 400 warden dalam kemahiran dan sokongan psikososial.




