Akta Pengangkutan Jalan baharu berkuat kuasa hari ini

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 mula berkuat kuasa hari ini bagi memperketat tindakan terhadap kesalahan jalan raya, termasuk lumba haram dan kegiatan tonto.
Menerusi pindaan itu, pesalah lumba haram boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM20,000 dengan hukuman penjara sehingga lima tahun.
Kegiatan tonto yang mengganggu operasi penguatkuasaan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pindaan itu turut memperkukuh penggunaan rekod elektronik dan penguatkuasaan digital. Bagaimanapun, kenaikan had maksimum kompaun daripada RM300 kepada RM500 hanya berkuat kuasa pada 1 Januari 2029.




